Adat pertandingan. Ada yang kalah dan ada yang menang. Kalau semua boleh memenangi sesuatu pertandingan, sudah pasti tiada miskin dan kaya, tiada pendek dan panjang, tiada hujan dan panas, tiada manis dan tawar, tiada kepastian dan keraguan, tiada perasaan cinta dan benci, tiada gelap dan terang dan tiada kehidupan dan tiadanya kematian.

Ketetapan sejak azali telah tersurat apa yang tersirat. Setiap keraguan adalah bermakna usah diteruskan jua. Jika ‘kunfayakun’ dapat disangkalkan, maka tiadalah nyawa dikandung badan….. 

Dari keputusan para hakim yang memahami konsep kehalusan, keunikan, kreativiti, padanan warna dan tampak anggun serta glamor, maka diakhiri dengan tersebutlah nama-nama para pemenang yang mengkuathiri akan kewibaan tersendiri. Kebijaksanaan dari para juri tanpa dipersoalkan dan tanpa dipengaruhi oleh seisapa pun jua, menunjukkan bahawa pelajar-pelajar FTIMdc sekali lagi telah menambat hati dengan mata markah tertinggi.

Bukan untuk bermegah tetapi sekadar berbicara dari hati yang ikhlas sebagai pihak penganjur. Bahawa sesuatu ilmu itu harus ditimba meskipun hingga ke hujung dunia. Jangan disangkal keputusan muktamat. Usah dipersoalkan keunikan keujudan nilai kemahiran. Tanpa ilmu yang mendalam pelajar-pelajar FTIMdc sudah pasti tidak dapat menandingi para peserta yang seramai 50 orang.

Bagi anda yang menang jangan meninggi diri dan bagi anda yang tidak pernah kenal erti kalah teruskan berusaha sehingga dapat mencapai ke tahap yang lebih baik dari hari ini. 

Wasallam – RJ

PERTANDINGAN SULAMAN MANIK KRISTAL FTIMdc KE-2 MEMPERKAYAKAN FESYEN Kebaya NYONYA 

KUALA LUMPUR, April 3, 2010, Sabtu: Pertandingan Sulaman Manik Kristal 2010 dari Pusat Rekaan Fesyen FTIM (Fashion Trade Institute of Malaysia) (”FTIMdc”) memasuki tahun keduanya. Dengan matlamat untuk memperkayakan fesyen kebudayaan tradisional Malaysia, para peserta menghadapi cabaran untuk menghantar pakaian Kebaya Nyonya yang asli dan di tambah dengan gabungan sulaman tangan kristal, labuci, manik dan benang. 

”Untuk tahun ini, kami menerima 55 penyertaan berbanding hanya 23 pada tahun lepas. Ini membuktikan peningkatan dalam populariti terhadap sulaman tangan dan menyerlahkan lagi pakaian tradisional asas dengan sulaman manik, labuci serta kristal,” kata Rosita Jaafar,  Pengarah dan Pengetua FTIMdc, yang lebih mesra dipanggil ”RJ” dalam industri ini. 

Pertandingan ini telah diumumkan pada Disember 2009 dan para peserta telah diberikan masa yang secukupnya untuk menghantar borang penyertaan mereka. Kemudiannya, mereka diarahkan untuk menghantar hasil rekaan mereka pada pertengahan Mac dan penghakiman secara profesional telah diadakan pada 1 April 2010 di mana 21 hasil tangan terbaik telah dipilih. 

Pada hari ini, kesemua 21 Kebaya Nyonya akan dipakai oleh peragawati-peragawati untuk dipertontonkan kepada orang ramai. Penghakiman terakhir akan dibuat untuk memilih tiga pemenang. Pemenang-pemenang bakal membawa pulang hadiah dan wang tunai bernilai sejumlah RM15,000. Pemenang pertama pula bakal memenangi pakej Umrah di samping piala, wang tunai, sijil dan mesin jahit yang ditaja Konwa. 

”Pertandingan ini diadakan untuk manfaat kaum wanita khususnya kerana mereka boleh melakukan seni jahitan ini dari rumah walaupun sebagai hobi. Namun, mereka juga tahu sejauh mana mereka boleh pergi jika betul-betul serius dan gigih berusaha. Adalah penting untuk kita memahirkan diri kita dengan pengetahuan yang secukupnya terutama sekali dalam industri ini yang senantiasa berubah-ubah serta cabaran dari permintaan pelanggan yang pelbagai. Jadi, pertandingan ini boleh dikira sebagai satu platform jika seseorang itu ingin menguji kesungguhan dan ketelitian hasil kerja tangannya,” tambah RJ. 

Rosita turut meluahkan harapannya agar pertandingan ini akan terus berkembang secara positif di tahun-tahun mendatang agar lebih ramai peminat sulaman akan didedahkan kepada potensi industri ini. 

”Budaya di Malaysia sangat indah dan saya akan meneruskan usaha saya dalam menjadikannya sesuatu yang terkini. Pertandingan ini turut merupakan satu cara untuk mengetengahkan bakat-bakat baru dalam industri ini dan siapa tahu, fesyen tradisional kita akan turut diminati di peringkat antarabangsa di masa hadapan,” kata RJ.